Sunday, November 28, 2010

PENGENALAN

          Pengukuran ialah satu proses yang sangat berguna dalam kehidupan seharian kita. Pengajaran dan pembelajaran tentang pengukuran boleh membantu murid-murid belajar operasi nombor kerana terdapat banyak konsep-konsep dan langkah-langkah matematik yang menjadi asas kepada kedua-dua konsep pengukuran dan nombor tersebut. Isipadu cecair merujuk kepada kapasiti cecair dalam sesuatu bekas. Kapasiti atau muatan boleh diukur dengan menggunakan unit bukan piawai iaitu lebih atau kurang dan unit piawai dalam millimeter (ml) dan liter (l) dalam sistem metrik. Guru boleh menggunakan bahan-bahan yang dikumpulkan seperti botol air mineral, tin-tin minuman, teko, pasu, mangkuk dan lain-lain untuk membuat ujikaji tentang pengukuran muatan yang terkandung dalam sesuatu bekas. Guru juga boleh memperkenalkan konsep mengenai kapasiti kepada murid-murid dengan bertanya,´ Bekas manakah yang mengandungi lebih isinya?´ Guru perlu memastikan bahawa murid-murid tidak mendapat konsep yang salah mengenai kapasiti. Perbandingan kapasiti boleh dibuat di antara dua bekas secara langsung untuk memudahkan murid-murid memahaminya. Semasa membuat perbandingan langsung, murid-murid diberi beberapa jenis bekas yang berlainan saiz yang digunakan untuk mengisi air. Murid-murid boleh mengisi air ke dalam satu bekas dan menuangnya ke dalam satu bekas yang lain untuk melihat bekas mana yang boleh mengisi lebih air.

            Penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) dapat menjadikan pengajaran dan  pembelajaran isipadu cecair lebih berkesan dan dapat memperkembangkan pemahaman konsep kapasiti dan isipadu cecair di dalam diri murid-murid. Pelajar yang belajar dan berinteraksi dengan objek dan bahan sebenar akan lebih memahami apa yang dipelajari. Murid-murid juga akan dapat membina sendiri konsep kapasiti dan isipadu cecair dengan lebih berkesan berdasarkan pengetahuan sedia ada dan pengalaman mereka. Penguasaan konsep isipadu cecair perlu dikuasai oleh murid-murid supaya pengajaran dan pembelajaran isipadu cecair lebih berkesan. Guru perlu membantu murid-murid supaya dapat menguasai konsep isipadu cecair dengan baik dan berkesan. Oleh itu penggunaan bahan atau alat bantu mengajar perlu digunakan supaya pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

            Dalam blog saya ini, saya telah menyediakan satu video tentang pembelajaran isipadu dan cecair sebagai simulasi yang boleh digunakan. Selain itu, saya juga telah mencadangkan peralatan dan aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi mengajar isipadu dan cecair mengikut kebolehan dan prestasi murid (lemah dan cerdas). Diharapkan guru dan murid-murid dapat menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment